Sunday, April 27

AKPK Gesa Buat Kerja Sampingan Tangani Hutang Isi Rumah



KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menggesa rakyat Malaysia membuat kerja sampingan bagi membantu mereka menangani kadar hutang isi rumah yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Koid Swee Lian berkata bagi mereka yang berada dalam bidang perguruan, misalnya, boleh mengadakan kelas tambahan untuk menambah pendapatan.

"Guru boleh menambah pendapatan dengan mengadakan kelas tuisyen kepada pelajar pada sebelah petang. Dengan berbuat demikian, mereka boleh membantu pasangan mereka menangani hutang isi rumah dan kos sara hidup yang meningkat.


"Saya juga menggesa pihak yang mencari nafkah untuk keluarga berkongsi masalah kewangan mereka dengan anggota keluarga supaya mereka boleh diingatkan tidak lebih berbelanja," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pemenang bagi pertandingan Visa Financial Football Malaysia 2014 di sini hari ini.

Hadiah utama pertandingan itu ialah kunjungan ke Piala Dunia FIFA di Brazil.

Dalam ucapannya, Koid berkata setiap orang mesti mempunyai perancangan kewangan yang baik dan turut menggesa menyimpan untuk kecemasan dan hari persaraan.



Beliau berkata AKPK menerima pelanggan yang mempunyai masalah kewangan setiap hari yang tidak mengetahui mengenai aliran tunai mereka, berbelanja lebih dan hidup di luar kemampuan mereka.



Agensi itu telah membantu orang ramai melalui Program Pengurusan Kredit dan menjangkakan untuk membantu lebih ramai lagi pada tahun ini.

"Kami berharap untuk memperoleh kira-kira 17,000 orang menyertai program kami pada tahun ini, berbanding 16,769 pada 2013," katanya, sambil menambah agensi itu akan menambah dua hingga tiga lagi cawangan pada tahun ini.

Dilaporkan pertumbuhan hutang isi rumah pada 2013 berkurangan kepada 11.7 peratus berbanding 13.5 peratus peningkatan dilihat pada 2012.

Sumber : Bernama

Share This!


No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger · Designed By Seo Blogger Templates